29 Mei 2009

Data Penggunaan Penjodoh Bilangan “Buah” untuk Kata Nama Abstrak (2)

Masukan terdahulu
Benda Abstrak Tidak Memerlukan Penjodoh Bilangan
Penjodoh Bilangan “Buah”
Sebuah Orang*, Sebuah Rambut* dan Sebuah Air Mata*
Data Penggunaan Penjodoh Bilangan “Buah” untuk Kata Nama Abstrak (1)

Ayat
1. Ada dua buah ayat* Al-Qur'an yang disampaikan oleh pembantunya. (I)
2. Bismillah adalah sebuah ayat* lengkap. (M)
3. Dalam keadaan tertentu, perenggan boleh terdiri daripada sebuah ayat*. (Wikipedia)
4. Guru meminta murid-muridnya membentuk beberapa buah ayat* majmuk gabungan. (M)
5. Sebagai contoh, sebuah ayat* yang mengandungi kata kerja transitif dalam binaan aktif, masih mempunyai kontor intonasi yang sama apabila dipasifkan. (M) (B)

Perenggan
1. Ayat-ayat lain dalam sebuah perenggan* dikenali sebagai ayat sokongan. (M)
2. Membaca secara imbasan dan luncuran (skimming) sebuah perenggan* dalam waktu tertentu untuk mengenal pasti isi penting dan mengaitkan idea seperti fakta lain yang relevan atau fakta dari aspek yang lain (punca, kesan dan langkah mengatasi). (HSP BM T4 hlm. 18)
3. Sebuah perenggan* isi hanya mengandungi satu idea utama. (M) (G)
4. Sebuah perenggan* memerihalkan satu tema. (M) (B)
5. Tulis isi-isi tersurat tersebut menjadi sebuah perenggan* yang lengkap. (M) (G)

Huruf
1. Anda bisa batal memilih sebuah huruf dengan mengklik kanan huruf itu. (I)
2. Ia menggantikan sebuah huruf alfabet dengan huruf alfabet yang berada tiga huruf sesudahnya. (I)
3. Jika di tengah kata ada huruf konsonan, termasuk gabungan huruf konsonan, di antara dua buah huruf * vokal, pemenggalan dilakukan sebelum huruf konsonan. (I) (B)
4. Sebuah huruf* kanji dapat memiliki arti lebih dari 1. (I)
5. Sebuah huruf*, sebuah kata*, sebuah kalimat*, bagaikan angka satu yang berpecahan tak terhingga dalam dirinya. (I) (B)

M = Laman web atau blog Malaysia
I = Laman web atau blog Indonesia
B = Buku versi digital
G = Laman web atau blog guru, termasuk guru Bahasa Melayu

28 Mei 2009

Data Penggunaan Penjodoh Bilangan “Buah” untuk Kata Nama Abstrak (1)

Masukan terdahulu
Benda Abstrak Tidak Memerlukan Penjodoh Bilangan
Penjodoh Bilangan “Buah”
Sebuah Orang*, Sebuah Rambut* dan Sebuah Air Mata*

Pengguna bahasa kita berminat menggunakan penjodoh bilangan “buah” untuk kata nama abstrak. Hasil carian dengan Google pada 22 hingga 26 Mei 2009 membuktikan hal itu. Sebanyak 200 kata nama abstrak mendapat penjodoh bilangan buah. Jumlah keseluruhan ungkapan kata nama abstrak yang diberikan penjodoh bilangan “buah” itu melebihi 10 juta. Sebanyak 10 ungkapan pilihan yang tertinggi penggunaannya adalah seperti yang di bawah.

1. *sebuah penelitian 634,000
2. *sebuah mimpi 388,000
3. *sebuah masyarakat 351,000
4. *sebuah perjalanan 278,000
5. *sebuah kehidupan 205,000
6. *sebuah peluang 183,000
7. *sebuah harapan 149,000
8. *sebuah perjuangan 124,000
9. *sebuah persahabatan 121,000
10. *sebuah kalimat 104,000

24 Mei 2009

*Sebuah Orang, *Sebuah Rambut* dan *Sebuah Air Mata

Masukan yang berkaitan
Benda Abstrak Tidak Memerlukan Penjodoh Bilangan
Penjodoh Bilangan “Buah”
Hasil carian pada 23 dan 24 Mei 2009.
  1. Alkisah sebuah orang tua* memiliki 27 anak*. (I)
  2. Tiga buah kereta peronda dan dua buah orang* anggota polis bermotosikal kuasa tinggi tiba di tempat kejadian. (M)
  3. Bill Gates adalah salah sebuah orang* yang paling berpengaruh itu di dunia. (M)
  4. Demikian pula, sebuah orang bodoh* tidak dapat memahami hikmat bijaksana. (I)
  5. Sebuah orang* memberikan suara atas pilihannya. (I)
  6. Ia membeli sebuah rambut* palsu alias wig karya disdainer terkenal untuk membodohi para penggemarnya. (I)
  7. Raksasa itu mengatakan dua buah rambut* itu adalah rambut* ajaib. (I)
  8. Dia punya dua buah rambut* putih menghiasi poninya.
  9. Dan gadis itu sama sekali tidak bergerak menatap kura-kuranya dengan sebuah air mata* yang jatuh dari matanya yang hitam dan sayup. (I)
  10. Moga air mata yang mengalir di pipi abah, adalah sebuah air mata* kasih sayang. (M)

    I = Laman/blog Indonesia
    M = Laman/blog Malaysia
    *tidak baku

23 Mei 2009

Ejaan E-mel dan Meng-e-melkan

Keputusan carian pada 23 Mei 2009 adalah seperti yang berikut:

dengan e-mel 20,200 – dengan emel * 12,700
e-mel itu 3,780 – emel* itu 2,850
e-mel kami 8,100 – emel* kami 30,100
e-mel percuma 2,450 – emel* percuma 6,590
e-mel saya 9,250 – emel saya* 34,700
e-melnya 2,750 – emelnya* 4,210
melalui e-mel 93,100 – melalui emel* 70,000
peti e-mel 644 – peti emel* 3,070

Jumlah ejaan yang baku (e-mel): 140,274 (46%)
Jumlah ejaan yang tidak baku (emel): 164,220 (54%)

meng-e-melkan 281
menge-melkan* 37
meng-emelkan* 10
mengemelkan* 382

Jumlah ejaan yang baku: 281 (40%)
Jumlah ejaan yang tidak baku: 429 (60%)

Ayat contoh yang mengandungi ejaan yang tidak baku.

1. Alamat emel* itu dengan sengaja tidak dipaparkan di blog.
2. Anda wajib meletakkan emel* kami semasa melakukan transaksi.
3. Apa akan berlaku jika peti emel* saya mencapai kuotanya?
4. Bagaimana saya boleh tahu nama pelayan bagi akaun emel* saya yang lain?
5. Berserta emel* itu ialah gambar penyanyi baru yang tidak berbaju.
6. Hati-hati dengan emel* yang berniat jahat.
7. Jelas kedua-dua emel* itu palsu dan bertujuan mahu menipu!
8. Mohon anda semua mengemelkan* kepada saya puisi anda.
9. Saiz maklumat yang diterima bergantung kepada* saiz peti e-mel* penerima itu sendiri.
10. Sesiapa yang berminat untuk menyertai kami, sila emel* kami di ***@yahoo.com.sg. sebarang maklum balas.
11. Si penerima emel* spam juga terganggu.
12. Ada senarai alamat emel* percuma.

22 Mei 2009

Data Ungkapan "Oleh Hal Demikian"

Data Ungkapan "Oleh Hal Demikian" dan "Dengan Hal Demikian"

Kemas kini pada 11 Ogos 2009

Oleh Hal Demikian

  1. Oleh hal demikian, individu yang mempunyai masalah sedemikian perlu berusaha untuk membina dan membentuk keyakinan diri agar mereka lebih kuat dan lebih tegar untuk bersaing dengan orang lain. Nor Aziah Ahmad, “Mengenal Pasti Punca dan Ciri Kelemahan Diri”, Pelita Bahasa, Februari 2007, halaman 5.

  2. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah jika lebih banyak perempuan yang memaksimumkan fungsi superegonya untuk menyebut sesuatu yang tidak boleh disebutkan dalam keadaan biasa. Hasan Baseri Budiman, “Ekolalia dan Koprolalia dalam Latah”, Dewan Bahasa, September 2008, halaman 8.

  3. Oleh hal demikian, budaya merangkumi cara manusia berfikir, …. Dewan Bahasa, Mei 2009, hlm. 14.

  4. Oleh hal demikian, jikalau pengalaman …. Dewan Bahasa, Mei 2009, hlm. 16.

  5. Oleh hal demikian, timbul salah faham …. Dewan Bahasa, Mei 2009, hlm. 26.

  6. Oleh hal demikian, beliau telah menyusun …. Dewan Bahasa, Mei 2009, hlm. 37.

  7. Oleh hal demikian, rakyat di negara-negara berbahasa Melayu …. Dewan Bahasa, Mei 2009, hlm. 58.
  8. Oleh hal demikian, bayi akan segera berhenti menangis …. Dewan Bahasa, Jun 2009, hlm. 7.

  9. Oleh hal demikian, setiap anggota masyarakat yang menuturkan dialek yang diwarisi daripada masyarakat yang terdahulu, perlu memelihara dan memulihara dialek agar tidak hilang dan lenyap. Ritah Yahaya, “Bicara Bahasa: Jangan Sampai Hilang”, Dewan Bahasa, Julai 2009, halaman 5.

  10. Oleh hal demikian, adalah tidak wajar jika ada pihak yang menganggap bahawa sesuatu dialek itu lebih murni dari aspek linguistik jika dibandingkan dengan dialek yang lain. Rohaidah Haron, “Dialek Identiti Bahasa dan Budaya yang Dilupakan”, Dewan Bahasa, Julai 2009, halaman 6.
  11. Oleh hal demikian, atas kesedaran dan tanggungjawab untuk memelihara dan memulihara bahasa sebagai warisan bangsa yang amat berharga, beberapa usaha penggalian dan pendokumentasian dialek Melayu dan bahasa serumpun telah dimulakan. Sharifudin Lubis, “Memasyarakatkan Dialek”, Dewan Bahasa, Julai 2009, halaman 10 – 11.

  12. Oleh hal demikian (4). Laurent Metzger, “Peranan Bahasa dalam Masyarakat”, Dewan Bahasa, Julai 2009, halaman 14 – 18.

  13. Oleh hal demikian, perjuangan bahasa juga ialah perjuangan agama dan bangsa. Muhammad Nuruddin Bashah, “Perjuangan Bahasa dan Pendidikan Malik Bennabi”, Dewan Bahasa, Julai 2009, halaman 29.

  14. Oleh hal demikian, mereka terpaksa menggunakan bahasa Thai sehingga kosa kata Thai itu diterima bulat-bulat. Djusmalinar, “Generasi Penutur Bahasa Melayu di Selatan Thai”, Dewan Bahasa, Julai 2009, halaman 34.

  15. Oleh hal demikian, Mat Rempit merupakan istilah yang baharu wujud dalam budaya Melayu atau sosiologi Melayu. S. Nathesan, “Mat Rempit”, Dewan Bahasa, Julai 2009, halaman 40.

  16. Oleh hal demikian, maka ibu bapa perlulah mengawal bahasa yang digunakan di hadapan anak-anak, khususnya ketika mereka bertengkar atau ketika sedang berbicara. (2) Azizul Ismail, “Kanak-kanak dan Pemerolehan Bahasa”, Dewan Bahasa, Julai 2009, halaman 42 – 44.

  17. Oleh hal demikian, beliau mencabar khalayak untuk berfikir dan menjawab sesuatu soalan, yang jawapan tersebut memihak kepada pendirian individu. Jeniri Amir, “Wibawa Ucapan”, Dewan Bahasa, Julai 2009, halaman 48.

  18. Oleh hal demikian, nilai kemanusiaan yang tinggi diberikan keutamaan. Goh Sang Seong, “Mesej Sosiobudaya dalam Terjemahan Nama Perniagaan Cina”, Dewan Bahasa, Julai 2009, halaman 55.

  19. (1) Oleh hal demikian, masyarakat umum menyebut dialek sebagai loghat. (2) Oleh hal demikian, keunikan dialek merangkumi budaya dan cara hidup yang diamalkan oleh kelompok yang menuturkannya. Ritah Yahaya dan Nurhamizah Haji Hashim, “Dalam Dialek Terangkum Sejarah Sosial, Budaya dan Sistem Nilai Masyarakat”, Dewan Bahasa, Julai 2009, halaman 62 – 63.


Dengan Hal (Sebab) Demikian

  1. Dengan hal demikian, seseorang individu perlu menyeimbangkan keyakinan diri yang bertepatan dengan sasaran yang realistik, kemahiran dan pengalaman yang ada, serta ikhtiar dan persediaan yang mampu dilakukan oleh mereka demi memperoleh kejayaan yang cemerlang. Junaidah Ahmad Ghazali, “Antara Keyakinan dengan Keupayaan Diri”, Pelita Bahasa, Februari 2007, halaman 3.

  2. Dengan hal demikian, yang diyakini ialah bahawa Nilam mampu melahirkan masyarakat yang mempunyai budaya membaca. Armin Azhari Saleh, “Nilam dan Golongan Pembaca”, Pelita Bahasa, Jun 2008, halaman 3.

  3. Dengan hal demikian, banyak markah bahasa dapat diselamatkan daripada ditolak. Nawi Ismail, “Ayat Aktif Transitif untuk Pelajar STPM”, Pelita Bahasa, Mei 2009, halaman 26.

  4. Dengan hal demikian, kekangan yang dihadapi seharusnya sedaya mungkin ditangani. Siti Nur Hidayah Abdullah, “Peranan Pusat Sumber dalam Pengajaran Bahasa”, Pelita Bahasa, Mei 2009, halaman 35.

  5. Dengan sebab demikian, konsep Satu Malaysia yang digagaskan oleh Perdana Menteri keenam negara perlu menjadikan bahasa kebangsaan sebagai saru daripada unsurnya. Armin Azhari Saleh, “Bahasa dan Satu Malaysia”, Pelita Bahasa, Jun 2009, halaman 3.

  6. Dengan hal demikian, pelajar mudah tertarik dan akan memberikan lebih tumpuan terhadap persembahan kandungan atau maklumat bahasa yang ingin disampaikan dan sekali gus proses pengajaran dan pemelajaran berlaku dengan lebih berkesan. Zaitul Azma Zainon Hamzah, “Bahasa Lestari Pelajar Bestari”, Pelita Bahasa, Jun 2009, halaman 11.
    6.

  7. (1) Dengan hal demikian, pemelajaran kendiri makin mudah dan pantas. (2) Dengan hal demikian, pada suatu hari nanti, akan muncul lebih banyak CALL bagi pembelajaran bahasa Melayu di Internet sebagai wahana untuk warga global mempelajari bahasa itu. Syahrul Nizam Junaini, “Belajar Bahasa dengan Komputer”, Pelita Bahasa, Jun 2009, halaman 13 – 14.

  8. Dengan hal demikian, pelajar hendaklah memastikan supaya kata atau istilah itu digunakan dengan tepat dalam ayat. Vijayaletchumy Subramaniam, “Membetulkan Pelbagai Kesalahan”, Pelita Bahasa, Jun 2009, halaman 24.

  9. Dengan hal demikian, bahasa yang “sihat” akan menjadi bahasa tinggi. Armin Azari Saleh, “Bahasa Kebangsaan di India Kecil”, Pelita Bahasa, Julai 2009, halaman 3.

  10. Dengan hal demikian, saya berharap agar Pelita Bahasa menyiarkan artikel seperti itu dengan lebih banyak supaya dapat dimanfaatkan oleh guru dan pelajar untuk meningkatkan pengajaran dan pemelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu di bilik darjah. Abd Razak Hassan @Haron, “Belajar Bahasa dengan Menggunakan Artikel”, Pelita Bahasa, Julai 2009, halaman 4.

  11. (1) Dengan hal demikian eloklah kita lihat konsep bahasa Melayu baku. (2) Dengan hal demikian, satu rumusan dapat buat tentang ciri bahasa tinggi. Noresah Baharom, “Bahasa Melayu Tinggi”, Pelita Bahasa, Julai 2009, halaman 10 – 11.

  12. Dengan hal itu, kita dapat memanipulasikan pelbagai struktur dan bentuk ayat bahasa Melayu untuk menghasilkan wacana ujaran dan penulisan yang lebih menarik. Kho Tong Seng, “Perihal Pengguguran dalam Ayat”, Pelita Bahasa, Julai 2009, halaman 18.

  13. Dengan hal demikian, kata ganda semu bukanlah kata ganda yang sebenarnya dan sepatutnya tidak dianggap sebagai kata ganda penuh kerana kata itu merupakan satu kesatuan yang utuh (tidak dapat dipisahkan). Zaidi Ismail, “Kata Ganda Semu”, Pelita Bahasa, Julai 2009, halaman 19.
  14. Dengan hal demikian, guru dapat menggunakan papan tanda trafik sebagai alat pengajaran dan pemelajaran bahasa yang berkesan dan menarik. S. Nathesan, “Belajar Bahasa dengan Papan Tanda Trafik”, Pelita Bahasa, Julai 2009, halaman 35.
  15. Dengan hal demikian, barulah hubungan dan jalinan persefahaman antara kedua-dua-dua buah negara dapat diperkukuh. Hasrina Baharum, “Menyemai Bahasa Jiwa Bangsa di China”, Pelita Bahasa, Ogos 2009, halaman 6.
  16. Dengan hal demikian, segala bentuk mesej dan maklumat harus disalurkan antara negara di dunia. Abang Patdeli Abang Muhi, “Penterjemahan Mengembangkan Bahasa Melayu”, Pelita Bahasa, Ogos 2009, halaman 8 – 9.

  17. Dengan hal demikian, wajarlah tumbuh-tumbuhan yang hidup di permukaannya diabadikan dalam pantun Melayu. Mohd Nazeli Ahmad, “Bunga dalam Pantun Melayu”, Pelita Bahasa, Ogos 2009, halaman 26.

21 Mei 2009

Benda Abstrak Tidak Memerlukan Penjodoh Bilangan

Masukan terdahulu
Penjodoh Bilangan “Buah”

Penulis buku Tuntunan Bahasa (2004) mempunyai pendapat yang sama dengan panel penulis buku Tatabahasa Dewan (1993, 2008) tentang batasan penggunaan penjodoh bilangan “buah”. Buku Tuntunan Bahasa menegaskan, benda abstrak tidak memerlukan penjodoh bilangan.

“Dalam bahan-bahan terbitan di Malaysia, kecenderungan menggunakan penjodoh bilangan untuk benda abstrak belum ketara. Tetapi, dalam bahan bacaan yang terbit di Indonesia, amat nyata kecenderungan itu. Antara yang sering saya temukan termasuklah bentuk seperti:

  • sebuah bangsa
  • sebuah pandangan
  • sebuah fikiran
  • sebuah masyarakat
  • sebuah sumbangan

Semua kata nama yang tersebut, iaitu bangsa, pandangan, fikiran, masyarakat, dan sumbangan ialah kata nama abstrak. Cukup kita katakan satu bangsa, satu pandangan, satu fikiran, satu masyarakat dan satu sumbangan.” Awang Sariyan, 2004. Tuntunan Bahasa: Asas Pegangan Pelajar. Petaling Jaya: Pearson Malaysia, halaman 62.

Selain buku Tatabahasa Dewan dan Tuntunan Bahasa, buku Nahu Kemas Kini (2009) dan Petunjuk Bahasa (2005) juga menyatakan kata abstrak tidak boleh menerima penjodoh bilangan. Hal ini sudah dijelaskan dalam masukan Penjodoh Bilangan “Buah”.

18 Mei 2009

Hanya “Apa Itu?”

Prof. Dr. Asmah Haji Omar dalam Ensiklopedia Bahasa Melayu menyatakan, pertuturan kita pasti disertai intonasi. Pertuturan seseorang dikatakan lembut atau kasar berdasarkan kesan pendengaran kita apabila mendengar bahasa itu dituturkan dengan intonasi tertentu.

Pada suatu hari, seorang budak perempuan melihat seorang lelaki masuk ke dalam kedai. Seperti yang diarahkan oleh taukenya, budak perempuan itu memerhati si lelaki dari jauh. Apabila lelaki itu bergerak untuk melihat-lihat barangan, dia turut mengekorinya. Mula-mula dia mengekori si lelaki dengan jarak yang agak jauh. Kemudian dia mengekori lelaki itu dengan jarak yang lebih dekat. Dia perlu melihat apa-apa yang diperhatikan dan dipegang oleh si lelaki. Itulah arahan tauke kepadanya.

Lelaki itu memang perasan seorang budak perempuan mengekorinya. Dari jauh dia dapat mengecam tubuh kecil budak belasan tahun itu mengikuti pergerakannya setapak demi setapak. Dia pun perasan mata budak itu melingas memerhati tingkah lakunya. Budak yang berpakaian kurang kemas itu mungkin anak pendatang yang digaji oleh tauke kedai ini, kata hatinya.

Biarkanlah, si lelaki memujuk hatinya yang sedikit gelisah oleh tingkah laku budak yang berambut panjang itu. Pakaiannya yang kurang kemas dan rambutnya yang kurang terurus menguatkan agakannya bahawa budak itu ialah buruh murah daripada kalangan anak pendatang. Dia terus membelek barang dan melakukan pertimbangan sebelum membelinya.

Apabila lelaki itu semakin asyik membelek barang tanpa membelinya, budak perempuan itu merapati si lelaki itu dari belakang dan berkata, “Apa itu?”

Pada pendengaran si lelaki, lagu suara budak itu keras dan kasar. Unsur tempelakan mengatasi nada tanya dalam lagu suaranya. Dia menoleh. Kamu menyergah atau bertanya? Itulah soalan yang tertahan di khalkumnya.

Budak perempuan itu tercegat. Air mukanya membayangkan rasa jengkel dan hairan. Tiada sedikit pun ada tanda bunga senyum atau sinar ceria pada wajah budak itu.

Si lelaki memang sudah biasa membeli barangan elektrik di kedai itu. Hari ini, ungkapan “Apa itu?” menyebab dia segera keluar tanpa membeli apa-apa. Ungkapan itu menyakitkan hati. Dia berasa dirinya diperlakukan seperti pencuri.

Nota pada 7 Ogos 2012
Intonasi oleh Aranam

16 Mei 2009

Berguru pada Murid

Cikgu Abdul Salam pelupa dan adakalanya dia tersasul. Kelmarin seorang pelajar membetulkan kesilapannya.

“Terima kasih, Surya,” tuturnya. “Saya akui memang ada kesilapan dalam nota atau esei saya. Teguran kamu membantu saya membersihkan kesilapan itu. Terima kasih sekali lagi. Teruskan membantu saya dengan teguran yang membina.”

Di masjid, Cikgu Abdul Salam menjadi murid. Dia mendengar ajaran pelajarnya dengan teliti. Para pelajar itu ialah guru siswazah terlatih. Mereka mengikuti kursus dalam cuti. Dia adalah antara guru mereka di dalam bilik syarahan. Di masjid, mereka pula menjadi gurunya.

Pelajarnya membaca khutbah, dia mendengarnya dengan teliti. Pelajarnya membaca taalim, dia mendengarnya dengan takzim. Pelajar menyampaikan tazkirah, dia menghayatinya dengan hati pasrah. Pelajar menjadi imam, dia menjadi makmum. Dia juga selalu makan setalam dengan mereka.

Di bilik komputer, dia menjadi murid. Banyak lagi tempat dia jadi murid kepada pelajarnya.

“Ana gunakan gelaran cikgu bukan sebab ana hendak menunjuk-nunjuk. Sebab asalnya, ana tidak mahu orang panggil ana ustaz,” katanya kepadaku pada suatu hari.

Cikgu Abdul Salam mencitrakan dirinya cikgu kampung. Dia akan bersara tidak lama lagi, iaitu persaraan paksa pada usia 58.

Hari ini, dalam e-grupnya, Cikgu Abdul Salam menulis: “Aku akan menjadi murid kepada sesiapa sahaja yang berilmu. Oleh sebab ilmu manusia tidak sama, di e-grup ini pun aku menjadi murid. Aku berguru pada tukang ulas dan tukang komen. Aku menghormati guru-guruku dan menyayangi mereka. Insya-Allah, aku bersedia membaca pandangan guru-guruku yang disampaikan dengan baik. Insya-Allah, sebagai murid, aku juga akan berusaha memberitahu secara baik apa-apa kesilapan guru-guruku yang aku nampak.”

Selamat Hari Guru, Cikgu Abdul Salam bin Muhamad Firdaus.

Selamat Hari Guru

Selamat Hari Guru diucapkan kepada semua pengunjung yang bergelar guru.

Ucapan Selamat Hari Guru istimewa ditujukan kepada para pendidik di Bukit Langsat dan di ceruk rantau Negeri di Bawah Bayu.

Bunga melati juga selasih,
Buah bidara dari sempadan;
Guru sejati serta pengasih,
Dirinya juara suri teladan.


"Sebaik-baik murid, yang mudah dilentur; sebaik-baik guru, yang mudah ditegur." Wannor, KMSM, 14 Februari 2000.

15 Mei 2009

Keling Kekal dalam Kamus Dewan

Istilah “Keling” Dibenarkan dalam Kamus Dewan – Mahkamah

mStar Online, 14 Mei 2009

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bahawa penggunaan istilah “keling” dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga dibenarkan untuk tujuan pembelajaran.

Hakim Lau Bee Lan, yang memutuskan demikian dalam kamar, kemudian menolak rayuan Angkatan Pelopor India Muslim Selangor dan Wilayah Persekutuan (APIM) terhadap keputusan Penolong Pendaftar Kanan (SAR) Mahkamah Tinggi, Nik Isfahanie Tasnim Wan Abdul Rahman.

Pada 29 Disember, 2006, Nik Tsfahanie Tasnim membenarkan permohonan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk membatalkan saman pemula terhadapnya berhubung istilah “keling” yang difailkan oleh APIM yang didakwa menghina masyarakat India di negara ini.

Menurut peguam DBP Md Radzi Mustafa, hakim Lau dalam penghakimannya juga menyatakan penggunaan istilah “keling” dalam kamus itu bukan “mala fide” (niat jahat) kepada mana-mana pihak dan DBP hanya melaksanakan tanggungjawab yang ditetapkan.

Katanya hakim juga berpendapat saman pemula APIM itu adalah mudah dan tidak mempunyai peluang untuk berjaya.

Ditanya sama ada istilah “keling” masih digunakan dalam kamus edisi keempat, Md Radzi ia masih digunakan tanpa sebarang contoh perkataan.

Pada 22 Disember 2005, Pengerusi APIM Ramli @ Mohd Othman Ravinthranath Abdullah menyaman DBP dan lima yang lain berhubung istilah tersebut.

Dalam saman pemula itu, Ramli menamakan DBP, Ketua Pengarah DBP, Menteri Pendidikan, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, syarikat pencetak Harian (Zulfadzli) Sdn Bhd dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Antara lain, Ramli memohon supaya istilah itu dipadamkan dari kamus tersebut.

Pada 28 Februari, 2005, DBP mengemukakan permohonan bagi membatalkan saman itu atas alasan istilah itu dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga bukan bertujuan jahat, menimbulkan kacau-bilau, mengganggu keamanan, merangsang rasa benci, permusuhan, dendam, tidak harmoni atau perpecahan seperti yang didakwa oleh APIM.

Dalam afidavit sokongan bagi membatalkan saman itu, Timbalan Ketua Pengarah DBP, Abu Bakar Mohamad mendakwa APIM tidak mempunyai “locus standi” (hak di sisi undang-undang) untuk mengemukakan saman tersebut bagi pihak kaum India Muslim.

APIM diwakili oleh peguam Priyadarshini Nair. - BERNAMA

14 Mei 2009

Makna dan Penggunaan Contoh Perkataan “Atas”

1. Perkataan atas dapat membawa enam makna. Makna atas yang pertama ialah tempat yang lebih tinggi. Lawan atas ini ialah bawah. Ayat contohnya ialah “Bilik abang di tingkat atas bangunan itu” dan “Pemandangan dari atas bukit itu sangat indah”.

2. Makna atas yang kedua ialah pihak yang berkuasa. Ayat contohnya ialah “Ahmad melaksanakan tugas itu setelah mendapat arahan daripada atas.” Perkataan atas dalam ayat ini merujuk kepada pihak yang mengeluarkan arahan. Jikalau Ahmad bekerja dengan jabatan kerajaan, pihak yang mengeluarkan arahan itu ialah Ketua Jabatannya atau sesiapa yang dibenarkan memberikan arahan atas nama Ketua Jabatan.

3. Makna atas yang ketiga ialah kerana atau dengan. Ayat contoh yang pertama: “Dia meletakkan jawatan itu atas kemahuannya sendiri”. Dalam ayat ini, perkataan dengan dapat menggantikan perkataan atas. Ini pula ayat contoh kedua: “Kami mengucapkan terima kasih atas kesudian tuan hadir dalam majlis ini”. Perkataan kerana dapat menggantikan perkataan atas dalam ayat ini.

4. Makna atas yang keempat ialah mengenai, tentang, akan, berkaitan dengan atau terhadap. Perhatikan ayat “Pengarah puas hati atas kemajuan projek kita”. Perkataan atas dalam ayat ini dapat digantikan dengan perkataan berkaitan dengan atau terhadap.

5. Makna atas yang kelima ialah berdasarkan atau berasaskan. Ayat contohnya ialah “Dia membuat keputusan itu atas beberapa pertimbangan”. Perkataan atas dalam ayat ini dapat digantikan dengan perkataan berdasarkan atau berasaskan.

6. Makna atas yang keenam ialah mengikut atau menurut. Ayat contohnya ialah “Raja mengahwinkan puterinya atas syariat Nabi Ibrahim”. Perkataan atas dalam ayat ini dapat digantikan dengan perkataan mengikut atau menurut.

7. Ayat yang di bawah jelas janggal. Oleh itu, pengguna bahasa Melayu tidak akan menggunakan kata sendi di sebelum perkataan atas dalam ayat ini. Kita tidak perlu menyuruh mereka menggugurkan di yang berkenaan kerana mereka memang tidak akan menggunakannya.

Bilik abang di tingkat *di atas bangunan itu.
Pemandangan dari *di atas bukit itu sangat indah.
Ahmad melaksanakan tugas itu setelah mendapat arahan daripada *di atas.

8. Sayangnya, oleh sebab tidak tahu, kurang faham atau tidak perasan, ada pengguna bahasa Melayu menggunakan kata sendi di seperti dalam ayat yang di bawah. Padahal, kata sendiri itu tidak diperlukan.

Dia meletakkan jawatan itu *di atas kemahuannya sendiri.
Kami mengucapkan terima kasih *di atas kesudian tuan hadir dalam majlis ini.
Pengarah puas hati *di atas kemajuan projek kita.
Parit itu digali *di atas perintah raja.
Kita memberikan bantuan itu *di atas dasar kemanusiaan.

Penegasan: Kata sendiri di yang berwarna merah dalam ayat di atas tidak diperlukan.

Bidang/Aspek Pilihan Pengunjung

Jumlah pemilih 63 orang. Pemilih boleh memilih lebih daripada satu pilihan. Terima kasih diucapkan kepada tuan/puan yang sudi melakukan pilihan.