15 September 2011

Cuti Umum Hari Malaysia Gimik Anwar – Profesor

Perbincangan di Facebook.

Pada 2 September 2008 Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, cuti umum Hari Malaysia ialah taktik pembangkang untuk meraih sokongan rakyat. Cuti itu tidak perlu kerana boleh menjejaskan produktiviti.

Prof. Mohamed Mustafa Ishak dari Universiti Utara Malaysia pula menyifatkan cadangan Anwar itu sebagai gimik daripada seorang ahli politik yang ketandusan idea dan bertujuan mengalih perhatian daripada isu-isu besar.

Laporan penuh diberikan dalam lampiran A.

10 September 2011

Majlis Profesor Negara Tersasar - TERAS


Kenyataan Media TERAS Pengupayaan Melayu
10 September 2011

Majlis Profesor Tersasar Jauh daripada Kebenaran

TERAS terkejut dengan pendirian Majlis Professor Negara yang mengatakan perjuangan golongan kiri bukan perjuangan kemerdekaan. Mengulas rumusan oleh majlis yang dikatakan dianggotai oleh para ahli profesor yang diwakili oleh Prof. Datuk Zainal Kling, TERAS berpendirian sejarawan tersebut bermain kata-kata yang berbelit-belit untuk menafikan suatu fakta yang sudah sangat makruf dalam kalangan rakyat.

09 September 2011

Profesor Dato’ atau Dato’ Profesor?


Profesor Emeritus Datuk
Dr. Nik Safiah Karim
1. SOALAN: Profesor Dato' atau Dato' Profesor? JAWAPAN: Lazimnya dalam protokol dan adat istiadat, jawatan profesor mendahului gelaran Dato' seperti YBhg. Profesor Dato' Mustafa bin Muhammad. Walau bagaimanapun protokol ini tidak diikuti sepenuhnya kerana penerima boleh memilih untuk mendahului jawatan daripada gelaran atau sebaliknya mendahului gelaran daripada jawatan. (Khidmat Nasihat Bahasa DBP, 9 September 2011)

2. SOALAN: Katakan Profesor Datuk Dr. Hajah X ialah penerima anugerah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK). (1) Dalam konvokesyen UMS panggilannya Datuk Prof. Dr. Hajah X atau Prof. Datuk Dr. Hajah X? (2) Bagaimanakah pula panggilan untuk beliau dalam majlis rasmi anjuran Kerajaan Negeri Sabah yang dihadiri oleh TYT? JAWAPAN: Profesor Datuk. Gelaran “Datuk Profesor” tidak ada dalam protokol Negeri Sabah. (Tuan Haji Yahamad Budin, Jabatan Ketua Menteri Sabah, 9 September 2011)

04 September 2011

Tiada Malam 0 Syawal


Saya mendapati ada media elektronik menggunakan istilah “Hari Raya Aidilfitri” untuk merujuki 1 Syawal sahaja. Selepas 1 Syawal, media itu menggunakan istilah “2 Syawal”, “3 Syawal” dan seterusnya. Media itu tidak menggunakan ungkapan “hari raya kedua”, “hari raya ketiga” dan seterusnya.

Perlakuan media itu bertepatan dengan pandangan seorang rakan saya yang bergelar ustaz dan mengajarkan bahasa Arab di sebuah institut pendidikan guru. Menurut rakan saya itu, Hari Raya Aidilfitri sehari sahaja, iaitu pada 1 Syawal. Hari-hari dalam bulan Syawal selepas itu dinamakan hari pertama selepas Aidilfitri (2 Syawal), hari kedua selepas Aidilfitri (3 Syawal) dan seterusnya. Menurutnya, pencinta ilmu tidak wajar menggunakan ungkapan “hari raya kedua”, “hari raya ketiga” dan seterusnya.

Walau bagaimanapun, ustaz itu dan seorang lagi rakan saya yang bergelar ustaz juga menggalakkan aktiviti kunjung-mengunjungi sanak saudara dan rakan taulan pada hari pertama dan hari-hari seterusnya selepas Aidilfitri. Yang mahu diubah oleh mereka hanyalah penggunaan ungkapan “hari raya kedua”, “hari raya ketiga” dan seterusnya. Usaha mereka bolehlah dikatakan “mendapat sokongan” media elektronik yang berkenaan.

Namun, apabila diteliti saya dapati pihak media itu lupa bahawa kiraan hari dalam Islam bermula apabila terbenamnya matahari di ufuk barat. Aidilfitri bermula selepas maghrib, iaitu selepas pihak yang berkuasa mengumumkan tarikh Aidilfitri itu secara rasmi. Malam itu, sejak maghrib hingga ke subuh, ialah malam 1 Syawal.

Saya dapati media itu seolah-olah menganggap malam 1 Syawal itu sebagai malam 0 Syawal. Jadi, malam yang berikutnya barulah dikatakan malam 1 Syawal sedangkan malam itu sebenarnya ialah malam 2 Syawal. Pada fahaman saya, tiada malam 0 Syawal. Walau bagaimanapun, saya bersedia menerima pandangan daripada rakan yang arif tentang perkara ini.

Mudah-mudahan nota ini membantu kita agar menggunakan istilah (agama) yang berkenaan, dan istilah yang lain seperti malam Jumaat, dengan betul.

01 September 2011

Al-Fatihah untuk Datuk Dr. Hassan Ahmad


Pada petang 31 Ogos 2011, tokoh bahasa Melayu yang kita sayangi, Datuk Dr. Haji Hassan Ahmad, meninggalkan kita buat selama-lamanya. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira pukul 2.00 petang di rumahnya di Petaling Jaya.

Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Daripada-Mu kami datang, maka kepada-Mu kami kembali. Saya memetik ayat Tuan Kembara Bahasa, “Kita mesti meredhai (meredai – DBP) takdir Allah yang menetapkan usia, rezeki, jodoh dan segala yang berkaitan dengan kehidupan.”

Saya doakan agar Allah mengampuni dosa beliau, mencucuri rohnya dengan rahmat dan menempatkannya dalam kalangan roh orang yang soleh. Al-Fatihah ... Amin!

31 Ogos 2011

Tok Awang Belum Merdeka














….

apabila semua orang
telah sedia duduk
aku bangun berdiri

27 Ogos 2011

Insya-Allah, Masya-Allah, Subhanallah dan Lain-lain

Pedoman Bahasa (JPEG) 079. Ejaan Kata Pinjaman Arab.

1. Ada tanda sempang antara perkataan “insya” dan “masya” dengan “Allah” untuk membentuk kata “insya-Allah” dan “masya-Allah”. Penggunaan tanda sempang ini sepadan dengan perkataan “hamba-Mu”, “rahmat-Nya” dan “se-Malaysia”.

2. Huruf pertama perkataan “Allahyarham”, “Allahyarhamah” dan “Subhanallah” menggunakan huruf besar.

3. Unsur yang berwarna hijau sudah saya sunting. Dalam DKBM huruf pertama perkataan nombor 11 ialah huruf kecil. Pihak Khidmat Nasihat Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (KNB DBP) menyatakan bahawa perkataan ini ialah nama khas dan penulisannya ada seperti dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK).

4. Bagi perkataan nombor sembilan dan sebelas, unit [la] saya tukar menjadi [lah]. Pandangan pro dan kontra rakan-rakan tentang hal ini amat saya hargai.

5. DKBM tidak menggunakan L untuk melambangkan sebutan tebal. Penggunaan huruf/lambang L bagi huruf tebal wajar dipertimbangkan bagi edisi ketiga. Nyatakan sama ada tuan/puan bersetuju atau tidak dengan pandangan ini. Catatkan sedikit hujah.

Lampiran A

Makna yang tercatat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (disunting).

1.   insya-Allah jika diizinkan Allah.
2.   masya-Allah apa-apa yang dikehendaki Allah.
3.   alhamdulillah segala pujian bagi Allah.
4.   Allahyarham kata ganti diri yang digunakan sebelum nama orang lelaki Islam (bukan daripada keluarga diraja) yang sudah meninggal.
5.   Allahyarhamah kata ganti diri yang digunakan sebelum nama orang perempuan Islam (bukan daripada keluarga diraja) yang sudah meninggal.
6.   astaghfirullah Ya Allah, ampunilah aku (disebutkan juga sebagai menyatakan kehairanan, terkejut dan sebagainya).
7.   radiallahuanhu moga-moga Allah memberi keredaan kepadanya (disebut sesudah menyebutkan nama khalifah Abu Bakar, Umar, Othman, dan Ali).
8.   Subhanallah Maha Suci Allah. (Ungkapan menandakan rasa takjub atas kebesaran dan keagungan Allah.)
9.   wallahuaklam dan Allah jua yang lebih mengetahui.
10. zikrullah amalan mengingati atau menyebut nama Allah (sama ada dalam hati atau dengan lidah).
11. Sallallahualaihiwasallam moga-moga Allah memberkati dan memberi kesejahteraan ke atasnya (dikatakan setelah menyebut nama Nabi Muhammad). Kependekannya SAW.

26 Ogos 2011

Mengumumkan Tarikh Hari Raya

Pedoman Bahasa (JPEG) 078. Binaan Frasa Kerja Transitif.

Rajah ini menggambarkan binaan frasa kerja transitif. Tanda ( ) menunjukkan bahawa unsur kata bantu dan keterangan bersifat pilihan. Tanda { } pula bermaksud ada dua jenis binaan, iaitu binaan dengan objek dan binaan dengan ayat komplemen. Dengan berdasarkan rajah ini, kita dapat menyenaraikan empat binaan frasa kerja transitif seperti yang di bawah.

(i)   Kata kerja transitif + objek
(ii)  Kata kerja transitif + ayat komplemen
(iii) Kata bantu + kata kerja transitif + objek + keterangan
(iv) Kata bantu + kata kerja transitif + ayat komplemen + keterangan

Keempat-empat binaan itu tercatat dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008: 403).

Frasa contoh dalam rajah ini ialah “akan mengumumkan tarikh hari raya pada malam itu juga”. Frasa ini menggunakan binaan (iii). Ayat 1 ialah ayat contoh yang mengandungi frasa ini.

1. X akan mengumumkan tarikh hari raya pada malam itu juga.

Dalam ayat 1, “X” ialah subjek dan dapat digantikan dengan “kami”, “pihak berkuasa” dan sebagainya. Bahagian yang lain ialah predikat. Inti predikat ialah kata kerja transitif “mengumumkan”. Selepas kata kerja transitif terdapat objek. Objek ialah kata nama atau kumpulan kata nama yang menjadi penyambut kata kerja transitif. Dalam ayat ini, objek ialah kumpulan kata nama, iaitu “tarikh hari raya”.

Jelaslah bahawa, dalam ayat, kata kerja transitif mesti diikuti oleh objek (atau ayat komplemen). Dengan berdasarkan penjelasan ini, pembaca dapat menentukan sama ada ayat-ayat yang di bawah gramatis atau tidak.

2. X akan mengumumkan *pada malam itu juga tarikh hari raya.
3. Wan Muhamad Zain menafikan *dengan sekeras-kerasnya berita itu.
4. Perantau itu menyambut *dengan linangan air mata Aidilfitri tahun ini.

Mudah-mudahan nota ini dapat membantu pencinta bahasa kebangsaan kita, khususnya pelajar dan guru bahasa Melayu, untuk menghasilkan frasa dan ayat yang gramatis.

24 Ogos 2011

Serondeng!

Pedoman Bahasa (JPEG) 077. Ejaan Perkataan Lazim.

Catatan pada 6 September 2011

Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Jilid 4 (1999) menggunakan ejaan *serunding. Penjelasan ensiklopedia itu tentang *serunding adalah seperti yang berikut:

SERUNDING, makan yang diperbuat daripada kelapa bercampur daging atau ikan yang dimasak bersama-sama rempah. Masakan ini halus, kering dan berderai. Bahan utama untuk membuat *serunding ialah kelapa yang diparut halus. Kelapa ini dimasak bersama-sama daging yang telah disiat-siat atau bahan-bahan campuran lain serta rempah-rempah seperti ketumbar, jintan, bawang, cili kering, lengkuas, serai dan halia. Bahan-bahan ini dimasak selama tiga atau empat jam sehingga betul-betul kering.

*Serunding kerap dijadikan lauk tambahan hari-hari atau lauk bekalan untuk perjalanan jauh. *Serunding sedap dimakan bersama-sama pulut urap, nasi kunyit, nasi lemak, lemang atau ketupat, selain nasi putih biasa. *Ia juga selalu dihidangkan pada *Hari Raya. Kini, *serunding sudah dijual dalam bentuk peket dan telah dikomersialkan.


22 Ogos 2011

Al-Quran, Al-Qur’an dan Al-Qur’ān


Pedoman Bahasa (JPEG) 076. Ejaan Kata Pinjaman Arab.
Paparan ini memperlihatkan lima cara pengejaan perkataan “al-Quran” dan jumlah perkataan yang berkenaan di Internet berdasarkan carian dengan Google pada 21 Ogos 2011.
Ejaan “al-Quran” ialah ejaan baku, iaitu ejaan yang diterima pakai oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Penyebarannya di Internet yang melebihi 35 juta sesuai dengan tarafnya sebagai ejaan baku.

Ejaan “al-Quran” terdapat dalam Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua (DKBM). Pada hemat saya, DKBM ialah buku rujukan terpenting tentang ejaan dan sebutan bahasa Melayu. Dari segi ejaan, wibawa DKBM mengatasi Kamus Dewan Edisi Keempat dan sumber-sumber yang lain.

Antara buku yang menggunakan ejaan “al-Quran” termasuklah Tafsir Al-Quran di Radio oleh Ahmad Sonhadji Mohamad terbitan Pustaka Al-Mizan (1991), Epistemologi Islam: Teori Ilmu dalam Al-Quran oleh Syed Muhamad Dawilah Al-Edrus terbitan DBP (1999), dan Apakah Itu Al-Quran? oleh Muzayyanah Abdullah terbitan PTS Islamika (2008).

Ejaan “al-Qur’ān” pula ialah transliterasi baku dengan berdasarkan Pedoman Transliterasi Huruf Arab ke Rumi. Ejaan ini adalah untuk kegunaan khusus penerbitan ilmiah.

Ejaan “al-Qur’an” ialah ejaan lama. Beberapa pihak, termasuk media cetak, masih menggunakan ejaan ini. Tindakan mereka dapat dianggap wajar kerana ejaan lama ini lebih tepat berbanding dengan ejaan baku.

Kebanyakan buku agama, termasuk buku terjemahan atau tafsir al-Quran, menggunakan ejaan ini. Antara buku yang menggunakan ejaan ini termasuklah Tafsir Fi Zilalil Qur’an terbitan Dian Darulnaim (1991) dan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian Al-Qur’an terbitan Darulfikir (1999). Malah, DBP masih menggunakan ejaan lama ini seperti yang terdapat pada tajuk buku Al-Qur'an dan Orientalisme (1993), Siri Pendidikan Al-Qur'an untuk Kanak-kanak Buku 41: Orang yang Sabar (2007) dan dan Al-Fatihah Ibu Al-Qur'an (2007).

Ejaan “al-Quraan dan “al-Qur’aan mengandungi dua vokal a yang disebut sebagai vokal panjang ā. Sebutannya tetap [al.qur.ān] dan bukannya [al.qu.ra.an] . Kedua-dua ejaan ini ialah ejaan lama pada zaman mesin taip.

Dari segi penggunaan huruf, hanya huruf Q ditulis dengan huruf besar. Huruf a pada “al-” ditulis dengan huruf kecil kecuali pada awal ayat, tajuk atau apa-apa situasi khusus yang mewajarkan a pada “al-” itu ditulis dengan huruf besar. Sebagai contoh, huruf a pada “al-” pada tajuk masukan ini dan tajuk buku dalam masukan ini ditulis dengan huruf besar. Sebagai penegasan, apabila kita menulis ayat “Dia membaca al-Quran”, huruf a pada “al-” dalam ayat ini kita tulis dengan menggunakan huruf kecil.

Petikan yang di bawah saya kutip daripada halaman 303 buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008):

"Namun begitu, bagi perkataan yang tergolong sebagai istilah keagamaan yang berkait dengan akidah dan al-Qur'an, bunyi-bunyi asal dikekalkan ejaannya. Contohnya: Qur'an, qari, thani, fasakh."

Kesimpulannya, ejaan “al-Quran” baku. Ejaan inilah yang diterima pakai dalam komunikasi rasmi, termasuk dalam arena pendidikan. Penjawat awam, khususnya guru, dan pelajar hendaklah menggunakan ejaan baku. Apa-apa pun ejaannya, termasuk ejaan tulisan Jepun, tulisan Braille dan bahasa isyarat, sebutannya tetap [al.qur.ān] atau transliterasinya al-Qur’ān.

21 Ogos 2011

Hari Perayaan Islam

Pedoman Bahasa (JPEG) 075. Ejaan Kata Pinjaman Arab.