30 Julai 2011

Pengisian Contoh oleh Ustazah Zubaidah

Siri Usrah/Tazkirah
2. Darihal Usrah oleh Hassan al-Banna
3. Berusrah Kali Pertama
4. Manhaj Usrah dan Mauduknya oleh Habbat Nasim
5. Pengisian, Kurikulum, Silabus atau Manhaj?
6. Pengisian Usrah di Maktab Perguruan
7. Usrah Nukleus Tarbiah oleh Arni Nasir

Saya sudah membaca buku Beberapa Peringatan untuk Para Da'i. Buku itu dapat menjadi sumber pengisian usrah. Buku itu berguna kepada pendakwah dan mad’u, iaitu orang yang didakwahkan. Saya memetik isi penting fasal pertama yang bertajuk “Inilah Dakwah Kita” untuk panduan naqib atau naqibah.

Dakwah kita adalah untuk seluruh manusia umumnya dan umat Islam secara khusus. Kita menyeru mereka supaya memberikan pengabdian total kepada Allah Yang Maha Esa, tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu dan tidak menjadikan sembahan lain sebagai Tuhan dan Rabb.

Dakwah kita adalah untuk manusia yang bersedia untuk menerima Islam sebagai din dan pegangan hidup, mengikhlaskan keyakinan yang bulat kepada Allah dan membersihkan jiwa daripada segala penyakit nifak dalam setiap amalan, supaya tidak bertentangan dengan Islam.

Dakwah kita adalah untuk alam sejagat. Kita menyeru manusia membangkitkan suatu revolusi dan perubahan menyeluruh terhadap sistem pemerintahan kini kerana pemerintahan kini dikuasai oleh taghut dan perosak yang hidup bermaharajalela di permukaan bumi dengan berbagai-bagai kemusnahan.

Kekuasaan dan kepimpinan ideologi yang zalim mesti dihentikan. Kekuasaan dan kepimpinan itu mesti diserahkan kepada orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, beriman dengan agama yang hak, tiada keinginan kepada kemegahan, kemaharajalelaan dan kemusnahan di muka bumi.

Setelah mendedahkan isi penting buku itu, naqib/naqibah hendaklah membincangkan persoalan yang di bawah:

1. Orang Islam memerlukan penerangan, penjelasan dan perincian, apa lagi orang yang bukan muslim.

2. Manusia tidak mengimani hak kehakiman dan kekuasaan Allah dalam semua urusan kehidupan di muka bumi.

3. Hakikat pengabdian ialah menerima semua bahagian kehidupan secara bersepadu, iaitu semua perkara yang berhubung dengan soal agama dan perkara yang berhubung dengan persoalan keduniaan dengan kepelbagaian masalahnya. Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk masuk ke dalam agama Allah secara menyeluruh, merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Allah berfirman,

maksudnya, "Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam seluruhnya; dan janganlah kamu turut langkah syaitan, sungguh syaitan itu musuhmu yang nyata.” (2: 208)

4. Din ialah cara hidup. Din Islam ialah cara hidup Islam. Cara hidup meliputi semua aspek kehidupan manusia. Misalnya ekonomi, politik, sosial, antarabangsa, ilmu pengetahuan, akhlak, bahasa dan sebagainya. Ad-Din itu satu, tetap dan tidak berubah. Al-Quran tetap terpelihara dan di dalamnyalah terkandung ajaran yang meliputi semua aspek itu.

5. Erti pengabdian yang dilaung-laungkan oleh rasul "mengaku dan meyakini bahawa tiada Tuhan selain Allah, Allah Maha Esa" ialah taat dan patuh dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Itulah makna takwa.

6. Siapakah yang nifak? Mereka ialah orang yang berpura-pura mengimani sesuatu sistem, menunjukkan penggabungan, penyerahan dan kepatuhan kepada-Nya tetapi pada waktu yang lain dapat hidup dengan penuh rasa aman dan rela hati di bawah naungan sistem lain yang bercanggah dengan sistem yang awal tadi.

7. Siapakah taghut? Kamus al-Marbawi menyatakan, taghut ialah penganiaya (zalim), kepala atau ibu penyesat, syaitan yang berpaling daripada jalan yang baik dan sesuatu yang disembah selain Allah.

8. Kemusnahan di bumi ... sila kaitkan kemusnahan alam (laut, udara dan darat) dengan pendidikan alam sekitar, kajian tempatan atau sains.

Tamat.

Nota Penyunting
Tajuk asal tulisan ini ialah “Inilah Dakwah Kita” oleh Ustazah Zubaidah binti Haji Sulaiman, terbit dalam E-Grup Gerak Usrah pada 6 Jun 1999. Tulisan ini saya murnikan dan diberi tajuk baharu untuk siaran blog dan buku wajah saya.

Tiada ulasan: