30 September 2012

Dirancangkan ke Gelanggang Lain

Sabah Tempat Bermain
(1) Turun ke Gelanggang
(2) Menghadapi Ujian
(3) Dirancangkan ke Gelanggang Lain
(4) Masuk ke Gelanggang Baharu

Nama penuhnya Othman bin Razak. Saya memanggilnya abang. Apabila saya bercakap dengan orang lain tentang dirinya, saya menggunakan ungkapan Abang Seman.

Abang Seman bukanlah abang saya yang sebenar kerana ayahnya bukanlah ayah saya dan ibunya pun bukan ibu saya. Sudah suratan takdir, nama ayah kami sama. Ayahnya Cina mualaf. Ayah saya Melayu tulen. Isterinya bernama Zaiton. Saya memanggilnya Kak Eton. Mereka orang Melaka.

29 September 2012

Menghadapi Ujian

Sabah Tempat Bermain
(1) Turun ke Gelanggang

Saya menjadi buruh binaan dari awal bulan Oktober 1971 hingga minggu kedua bulan Januari 1972 di syarikat yang sama. Hampir sepanjang bulan Oktober itu, pihak syarikat menguji kesungguhan, keupayaan dan kejujuran saya. Saya dikehendaki melaksanakan tugas berat bersama-sama buruh lain yang umumnya bertubuh sasa dan berlengan besar. Jalur otot dan urat lengan mereka jelas kelihatan. Tapak tangan mereka berkematu.

Dalam kalangan mereka, saya terendah, paling kecil dan kurus. Namun saya tetap memikul simen dari stor ke mesin pengadun konkrit atau dari lori ke stor. Saya juga melakukan kerja angkat-mengangkat yang lain seperti mengangkat bekas yang mengandungi pasir atau batu dan menuangkan bahan itu ke dalam mulut mesin pengadun yang ternganga dan berpusing. Saya membantu buruh-buruh lain mengangkat besi, beroti dan papan. Adakalanya saya mendapat giliran untuk menolak kereta sorong yang sarat dengan muatan konkrit basah ke tempat yang ditetapkan.

Turun ke Gelanggang

Saya menjejakkan kaki di Kota Kinabalu bersama-sama lima orang rakan pada hari Ahad, 26 September 1971. Kami bekas pelatih Institut Kemahiran MARA, Alor Setar. Kami dihantar oleh pengurusan institut ke Sabah untuk bertugas sebagai tukang berkemahiran. Pada masa itu usia saya sembilan belas tahun empat bulan.

Sayang akan Bahasa Kebangsaan

Kami warganegara Malaysia
menghayati keluhuran Perlembagaan negara
istimewa Fasal 152 tentang bahasa kebangsaan kita.

Kami sudah sepakat
menghayati kedaulatan undang-undang
Akta Bahasa Kebangsaan kami julang
Akta Pendidikan kami angkat.

Kami terus berusaha
menyerlahkan prinsip kesopanan Rukun Negara
bersama-sama kesusilaan sebagai sahabat setianya.

Kami pencinta demokrasi
kami enggan hanya berkata-kata dalam hati
selagi ada suara kami akan terus berbicara
demi martabat dan kelestarian bahasa kebangsaan kita.

Kami suka akan istilah bahasa Melayu
yang tercatat dalam Perlembagaan itu
dalam Akta Bahasa Kebangsaan juga begitu.

Kami suka mempelajari sains
juga matematik dan teknologi
dengan bahasa kebangsaan kami.

Kami pencinta bahasa kebangsaan bahasa perpaduan
kami pelaksana bahasa kebangsaan bahasa pentadbiran
kami pengguna bahasa kebangsaan bahasa ilmu pengetahuan
usahlah cinta kasih sayang kami dipermain-mainkan.

Kami sayang akan bahasa kebangsaan
bahasa warisan bersejarah panjang dan agung
bukan bahasa baru setahun jagung.

Kami sayang akan bahasa kebangsaan
bahasa agama, bahasa falsafah, bahasa sains dan teknologi
selagi ada upaya kurnia Ilahi
tetap kami pertahankan bahasa ini.

Mohd Isa Abd Razak
Seremban
April 2011

26 September 2012

Pelanduk Goreng, Kari Napuh

Sabah Tempat Bermain

Dalam perburuan, pelanduklah yang terkerap kami peroleh. Hasil buruan itu lazimnya seekor. Sesekali ada dua ekor tetapi tidak pernah tiga ekor. Jikalau pelanduk yang kami peroleh seekor cuma, hasil buruan itu bukan milik saya dan bukan juga milik Tuan Syed Mokhtar. Si kecil itu milik Saroh atau Pak Cik Suradi.

Ada sekali, selepas larut malam baru kami mendapat seekor pelanduk. Pak Cik Suradi mengajak kami untuk meneruskan perburuan di hutan bakau yang bersempadan dengan kebunnya. Di situ kami berjalan kaki. Usaha kami tidak berhasil. Kami kepenatan. Pak Cik Suradi mengajak kami singgah di pondoknya dalam kebun itu.

25 September 2012

Payau Terbaring

Sabah Tempat Bermain
Setiap kali keluar untuk berburu, harapan kami adalah untuk memperoleh payau. Anggota pasukan perburuan saya tidak pernah melahirkan harapan itu secara terus. Namun saya memahami harapan mereka melalui ulasan yang menyerlahkan kegembiraan atau kekecewaan. Saya menyelami harapan mereka melalui riak wajah dan perlakuan. Saya mengerti harapan mereka melalui kebisuan sementara yang disengajakan.


24 September 2012

Tumbuh-tumbuhan Sabah

Nenek Sabah
Ikan Sabah
Anggerik Nenek

Timadang
Timadang itu persis terap,
Nama umumnya buah tarap;
Isinya putih manis dan sedap,
Pabila makan santun beradab.

Kulit tarap persis nagka,
Banyak bujur bulat pun ada;
Elok direbus buah yang muda,
Lauk kegemaran si emak janda.

Polod adalah sejenis umbut,
Pohon palma bayas disebut;
Banyak di bukit di hutan Sugut,
Warnanya putih sangat lembut.

Polod

23 September 2012

Payau Jantan Berkutu

Selepas bersolat maghrib, saya berdoa seperti biasa. Antara kandungan doa itu termasuklah permohonan agar Allah melindungi perjalanan kami dan melimpahkan rezeki kepada kami.

Sudah hampir setahun saya menyertai pasukan pemburu yang diketuai oleh Pak Cik Suradi. Hasil perburuan kali pertama ialah seekor pelanduk. Dalam perburuan kedua kami mendapat seekor kijang. Dalam beberapa perburuan seterusnya kami memperoleh sekurang-kurangnya seekor pelanduk atau landak. Selepas itu ada beberapa kali kami pulang dengan tangan kosong.

22 September 2012

Ikan Sabah



Pelian (Kelah)
Ambil galah di kebun durian,
Abang hendak menjolok tarap;
Di sini kelah di sana pelian,
Dipanggang enak dikukus sedap.

Karuk/Korik (Puyu/Betuk)
Ada kayu di hujung caruk,
Untuk emak menjolok jering;
Di sini puyu di sana karuk,
Amat enak dipindang kering.

 
Pangal (Haruan)
Redupan sena di tanah tuan,
Laluan kanda waktu petang;
Pangal di sana, di sini haruan,
Lauk bonda dalam pantang.

Sopong (Baung Akar)

Kuih kelepung kuih bakar,
Ramuan emak dari desa;
Ikan sopong baung akar,
Dimasak lemak pasti perisa.



Rolou (Belut)

Elok perangai juga santunnya,
Anak sahabat bernama Milah;
Belut sungai, rolou Dusunnya,
Dapat mengubat penyakit lelah.



Salarong (Patin)


Kita ke sawah kutip cendawan,
Sebakul sarat jual di tamu;
Patin buah salarong Nabawan,
Ikan darat sajian tetamu.


Lembungau (Jelawat)


Si jururawat membeli jerangau,
Rebusan akarnya mesti ditelan;
Ikan jelawat itulah lembungau,
Ada lubuknya di Sungai Pegalan.

Saraweh (Selimang)


Sejenis kuih bernama lemang,
Kalau dibiarkan rentung jadinya;
Ikan saraweh persis selimang,
Sukar dimakan banyak tulangnya.

Rokot (Sapu-sapu)
Lembah di Sugut sudah bertuan,
Banyak rerama di hutan paya;
Ikan rokot menahu batuan,
Bahan utama bosou Mahaya.

Port Dickson
22 September 2012

Puisi: Nenek Sabah

Memukat di Tasik Ladam (2): Mengawasi Penundaan Kolek

Sabah Tepat Bermain
Saya biasa menjala udang galah bersama-sama Saroh. Kepalan umpan dibuang ke dalam sungai kira-kira sepuluh minit sebelum jala ditebarkan. Umpan beras yang digaul dengan belacan dan dicampurkan dengan sedikit tepung gandum sebagai perekat dan pemberat, menggalakkan udang galah keluar dari tempat persembunyian. Di tempat yang kami jangka udang mengerumuni makanan, di situlah jala kami tebarkan.

Saya bertanya, “Ada umpan, Saroh?”

20 September 2012

Buah Fikir Guru Cemerlang

Tajuk Buku: Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan, Buah Fikir Guru Cemerlang
Penyelenggara: Azizul Rahman Abdul Rahman dan Mohamad Saleeh Rahamad
Penerbit: MDK Intelek Enterprise
Tahun: 2011
Halaman: 521
Harga: Tidak tercatat
Pengulas: Mohd Isa Abd Razak

19 September 2012

Memukat di Tasik Ladam (1): Diserang oleh Nyamuk


Dari hulu hingga ke kuala, Sungai Kinabatangan yang berliku-liku itu melalui perjalanan lebih lima ratus kilometer. Aliran dan genangan airnya meliputi kawasan seluas lebih dua kali keluasan Negeri Sembilan. Limpahan airnya ketika banjir membentuk hutan paya yang luas dan subur.

Pemandangan dari udara memperlihatkan keindahan liku-liku sungai itu. Beberapa liku berbentuk huruf C seperti yang dihasilkan daripada plastisin oleh murid pemulihan khas. Hakisan banjir yang berulang-ulang menyebabkan ada antara liku itu putus. Longgokan enapan lama-kelamaan membentuk daratan sempit yang memisahkan liku yang putus dengan aliran baharu. Liku yang terpisah daripada ibunya itu dinamakan tasik ladam. Tasik ladam di Kinabatangan dikatakan tasik ladam terluas di Asia Tenggara.