09 Jun 2009

Isu Huruf Arab dan Huruf Jawi

Masukan terdahulu
1. Abjad Jawi Bentuk Tunggal Terkini
2. Selamat Mempelajari Tulisan Jawi
3. Beberapa Perkara Tentang Huruf Jawi
4. Ejaan Jawi untuk Pandai Ialah Pa-Nun-Dal-Alif-Ya
5. Jawi: Sekadar Percubaan
6. Memasang Fon Jawi
7. Huruf Tunggal Jawi Beranimasi
8. Sekarang, Tandas Ada Alif
9. Abjad Jawi 2008
10. Jawi Menewaskan Pallava, Kawi dan Rencong

“Huruf Arab berjumlah 30 termasuk huruf hamzah dan lam-alif. Walaupun sudah ada huruf lam dan alif, tetapi lam-alif dikira satu huruf khas.

Huruf Gubalan Melayu ada 6. Lima huruf telah digubal sejak awal penggunaan tulisan Jawi. Huruf terbaru digubal pada tahun 1984 dalam Konvensyen Tulisan Jawi Antarabangsa di Terengganu.

Huruf Arab 30 dan Huruf Gubalan Melayu 6, menjadikan abjad Jawi berjumlah 36.”

“Abjad Jawi”, Dewan Pelajar, Januari 2009.

Ulasan
1. Jumlah dan susunan huruf tunggal Arab dalam tulisan Jawi terkini terdapat dalam buku Daftar Kata Bahasa Melayu: Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua (DKBM) terbitan tahun 2008. DKBM menyenaraikan 30 huruf. Kesemuanya huruf tunggal. Huruf yang disenaraikan termasuklah ta marbutah. Huruf lam-alif tidak disenaraikan kerana lam-alif bukan bentuk tunggal. Lam-alif ialah huruf gabungan lam dengan alif. Dewan Pelajar (DP) juga menyenaraikan 30 huruf Arab. Jumlah ini tetap sama dengan jumlah dalam DKBM. Bezanya, dalam DKBM ada ta marbutah, dalam DP tiada ta marbutah; dalam DKBM tiada lam-alif, dalam DP ada lam-alif.

2. Jumlah huruf Jawi dalam DKBM ialah 37. Jumlah huruf Jawi dalam DP hanya 36. DP kurang satu huruf kerana tidak memasukkan huruf ye. Selain itu, ada perbezaan antara DKBM dengan DP seperti dalam ulasan 1.

3. Kamus Dewan Edisi Keempat (KD4) mencatatkan 36 abjad Jawi. Jumlah ini kurang satu berbanding dengan DKBM kerana KD4 tidak memasukkan ta marbutah dalam abjad Jawi. Takrifan ta marbutah terletak di bawah kata masukan ta. Dapat kita simpulkan, bagi KD4 ta marbutah ialah variasi huruf ta. Seperti DKBM, KD4 tidak memasukkan lam-alif dalam abjad Jawi.

Setelah lebih tujuh abad tulisan Jawi digunakan, jumlah huruf masih menjadi isu. Jikalau ada cadangan untuk menambah huruf vokal Jawi, isu jumlah huruf mungkin berterusan.

Jikalau tuan/puan ada maklumat atau sisi pandangan yang berbeza, molek benar dicatatkan dalam ruangan ulasan.

Tiada ulasan: