03 Ogos 2011

Berusrah di Pejabat pada Waktu Makan



Maafkan saya kerana tidak memberi apa-apa pandangan mengenai topik usrah. Hal ini disebabkan oleh waktu makan tengah hari saya diisikan dengan tadarus, sembahyang berjemaah dan membaca al-ma’thurat bersama dengan ahli usrah. Apabila mesej mengenai usrah disatukan, saya luangkan masa untuk menceritakan pengalaman saya.

Saya mula mengenali usrah semenjak belajar di ITM pada 1979 hingga 1982. Perwakilan Pelajar pada masa itu ialah ahli ABIM. Oleh itu, selepas induksi dan kelas bermula usrah diadakan untuk tiap-tiap bilik di asrama. Lumrahnya semua pelajar berminat untuk mengikuti usrah. Jadi pada yang berminat usrah masih lagi diteruskan dan ada yang terpaksa digabungkan. Pada hari Ahad diadakan ijtimak umum di surau untuk semua kumpulan. Pada hujung semester diadakan tamrin selama dua atau tiga hari sebelum bercuti ke kampung.

Apabila tamat belajar dan masuk ke alam pekerjaan, saya masih lagi mengikuti usrah. Usrah di tempat kerja berlainan sedikit daripada usrah pelajar kerana lebih banyak masa boleh diluangkan. Biasanya usrah diadakan sekali seminggu dan ijtimak umum diadakan pada hari Ahad. Naqib dan naqibah memilih ahli pelapis daripada kalangan ahli dan daripada kalangan pelapis dipilih naqib dan naqibah yang baharu untuk mengendalikan usrah. Naqib dan naqibah dan pelapis diberi penekanan yang lebih mengenai aspek kepimpinan. Tamrin pula diadakan setahun sekali. Buku rujukan bagi usrah ialah seperti Fundamentals of Islam oleh al-Maududi, Milestone oleh Syed Qutb dan buku-buku oleh ulama muktabar.

Saya rasa kita boleh merujuk cara Hasan al-Banna menyusun Ikhwan Muslimin sehingga lahir pemimpin-pemimpin yang lain untuk meneruskan kerja usrah. Kita perlu ada qiyadah dan satu penyusunan anggota yang rapi dan mantap untuk menegakkan kebenaran.

Nota Penyunting
Tulisan ini dikirim oleh Puan Zaitun Said kepada E-Grup Gerak Usrah pada 12 Disember 1999. Saya menyunting tulisan ini dan kemudian menerbitkannya dalam laman Gerak Usrah. Tulisan ini disiarkan kembali untuk tatapan pengunjung blog dan buku wajah saya. Saya berharap Puan Zaiton akur dengan usaha saya.

****
Cikgu Isa: Saya merujuki mesej Puan Zaitun Said pada 21 Disember 1999. Saya suka membaca catatan pengalaman sebenar beliau. Maklumat yang disampaikan asli. Yang paling menarik ialah membaca al-ma'thurat waktu tengah hari. Bagaimanakah sambutannya?

Puan Zaitun: Bacaan al-ma’thurat ini hanya dilakukan pada bulan Ramadan. Sebenarnya saya hendak membiasakan ahli usrah dengan bacaan tersebut. Apabila biasa, tidak kekok untuk membacanya sendiri. Alhamdulillah mereka bersetuju dan kami berusrah dengan tadarus, solat dan membaca al-ma’thurat.

Cikgu Isa: Puan menyertai usrah di ITM sejak tahun 1979. Pada hemat saya, aktiviti berusrah di institusi pengajian tinggi seperti ITM belum merata pada masa itu, walaupun aktiviti berusrah dikatakan bermula pada awal tahun 70-an. Apabila ada masa lapang, imbaslah pengalaman lama. Saya percaya rakan-rakan kita suka membacanya.

Puan Zaitun: Pada tahun tersebut dan awal 80-an terdapat berbagai-bagai jemaah di ITM. Kebetulan senior yang membawa usrah pada saya adalah daripada ABIM.

Cikgu Isa: Izinkan pula saya bicara sedikit kaitan pengalaman Puan Zaitun dengan pengalaman saya. Pada tahun 1983, majikan saya memestikan usrah sekali seminggu untuk semua kakitangan Islam, termasuk dirinya. Yang menariknya, usrah itu diadakan selama satu jam sahaja pada waktu kerja sebelum waktu rehat tengah hari. Semua kakitangan yang bukan Islam mengadakan aktiviti tersendiri.

Puan Zaitun: Mungkin tulisan saya kurang jelas. Usrah saya pada tahun 1983 itu bukannya diatur oleh majikan tetapi atas usaha saya sendiri. Usrah organisasi saya pada waktu malam. Usrah di pejabat diadakan pada waktu tengah hari atas rasa masuliah untuk menyampaikan pengajaran Islam kepada kawan-kawan.

Tiada ulasan: